Hari ini ana ingin memetik beberapa ayat atau perenggan dari buku yang baru ana beli dari Galeri Buku Syabab, Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi. Asalnya ana nak cari buku "Menuju PAS Baru" karangan Dr. Mujahid Yusuf Rawa tapi buku tersebut tidak terdapat di galeri buku tersebut. Tujuan utama ana ingin membelinya kerana ana baru sahaja membeli buku yang menjawab kepada buku tersebut iaitu buku "Menerjah Badai: 60 Tahun MempersadaPerjuangan" karangan Riduan Mohamad Nor. Disebabkan buku yang dicari tak jumpa, ana carilah mana-mana buku yang menarik untuk dibaca supaya tidak pulang dengan tangan kosong. Cari punya cari terlihat buku "Travelog Hidayah" karangan saudara Muhammad Rashidi Abdullah yang baru memeluk Islam pada tahun 2002 yang lalu.
Beliau pernah datang ke Masjid Kota Damansara bersama Ustaz Farhan Abdullah dalam satu program anjuran masjid "Hiwar Islam" isu tentang Islam dan Kristian. Masa ni beliau telah menjual buku pertamanya iaitu "Travelog Syahadah". Daripada buku tersebut ana dapati tulisannya dikira agak baik bagi orang yang baru dalam bidang penulisan lagipun dana atau keuntungan yang diperolehinya dari jualan buku tersebut beliau gunakan untuk jalan dakwah sepenuhnya. Jadi untuk buku beliau yang seterusnya ana tidak keberatan untuk memilikinya lagi. Kulit buku diapun agak menarik untuk dilihat seperti di bawah.

Petikan dari buku beliau:
Allah menyediakan kesudahan yang terbaik kepada kita. Bukankah kita mempunyai kitab terbaik? Nabi dan Rasul kita juga utusan terbaik. Agama kita agama terbaik dan kita umat terbaik. Mengapa kita tidak meyakini janji Allah adalah janji terbaik?
Hidup ini sentiasa dipenuhi dengan janji. Si anak berjanji dengan ayahnya. Si suami berjanji dengan isterinya. Pelajar berjanji dengan guru-gurunya. Pemimpin menabur janji kepada rakyat jelata. Si pencinta berjanji kepada kekasihnya. Hidup ini rupa-rupanya dipenuhi dengan janji. Dengan sebab itu Allah menciptakan kita juga berjanji. Janji Allah yang mentadbir sekelian alam adalah pasti. Sekali-kali Allah tidak memungkiri janji-Nya.
Sekian, wassalam...