Sunday, June 5, 2011

Kisah Syuhada

Assalamualaikum w.b.t.,

Sidang pembaca blog sekelian, pertama sekali ana memohon maaf kerana lama tidak update entry ini. Sesungguhnya benarlah maksud ulasan hadis nabi s.a.w., sekiranya sesuatu perkara itu dibuat bukan kerana Allah, maka Allah berlepas tangan daripadanya dan jika sesuatu perkara itu dibuat kerana Allah maka Allah akan membantu kita melaksanakan perkara tersebut. Mungkin apa yang ana lakukan sebelum ini belum cukup ikhlas maka Allah beratkan ana dalam urusan ini (update blog dengan ilmuNya), ana terpaksa berhenti lebih sebulan untuk mendapatkan semula kekuatan membetulkan niat, semoga Allah menerima usaha yang sedikit ini.

Ana akan cuba sedapat mungkin meringkaskan artikel, supaya ianya lebih mudah untuk ana tulis dan juga dibaca oleh pembaca blog sekelian. Semoga dengan sumbangan ini dapat mendorong pembaca mendapatkan nur hidayah Allah, kalo nak harap hidayah dari blog susah sikit le. Hidayah datang melalui ilmu, hari ini banyak kuliah-kuliah ilmu dan pengajian di masjid-masjid dan surau-surau harap pembaca boleh jadikan rumah-rumah Allah ini sebagai rumah kedua kita.

Kisah kali ini yang ingin ana sampaikan ialah kisah di zaman Saidina Uthman yang dicerikan oleh Ustaz Saiful Bahri yang menyampaikan kuliah subuh di Masjid Kota Damansara pada tarikh 5 Jun 2011. Kisah di mana Saidina Uthman mempunyai seorang Gabenor yang bernama Abu Qudamah. Kisah ini menceritakan kisah Abu Qudamah yang pergi perang jihad di suatu tempat. Tiba-tiba ditengah malam ada seseorang mengetuk khemahnya, lalu Abu Qudamah bangun, bila dibuka pintu khemah dilihatnya seorang wanita yang memakai penutup muka. Disangkanya pelacur yang ingin menggodanya, lalu beliau membaca doa minta perlindungan dari Allah. Tetapi wanita tersebut menyatakan, dia ingin memberikan kepada Abu Qudamah beberapa helai rambutnya yang telah disimpulkannya untuk diikat pada kuda Abu Qudamah yang akan pergi berperang di medan jihad pada esok hari. Dia berbuat demikian kerana tidak dapat pergi ke medan jihad, kalo rambut dia saja yang pergi pun kira ok la tu.

Pada keesokan harinya waktu nak bertolak ke medan jihad Abu Qudamah memeriksa barisan tenteranya, tiba-tiba di dalam barisan tentera tersebut, ada seorang tentera yang menutup mukanya, lalu Abu Qudamah mengarahnya membuka penutup muka tersebut. Tentera tersebut enggan dengan alasan kalo dibuka Abu Qudamah akan mengenalinya dan tidak akan membenarkan dia menyertai tentera ke medan jihad, lalu Abu Qudamah juga mengugut tidak akan membenarkan di menyertai tentera kalo tidah membuka penutup muka tersebut, lalu tentera tersebut pun membuka penutup mukanya. Rupa-rupanya dia adalah seorang budak yang sangat muda berusia 13 tahun. Lalu Abu Qudamah bertanya kepadanya, siapakah dia? Jawab budak tersebut, "Aku adalah anak kepada perempuan yang menghantar rambutnya ke khemahmu malam tadi". Abu Qudamah keberatan membenarkannya turut serta berperang, setelah dibuat perbincangan Abu Qudamah membenarkan budak tersebut pergi ke medan jihad dengan tugas sebagai tukang masak sahaja bukannya ikut sama berperang, lalu dia pun setuju.

Setelah berada dimedan perang, budak tersebut seperti biasa menjalankan tugasnya sebagai tukang masak sehinggalah suatu pagi dah agak lewat, Abu Qudamah didapatinya makanan masih belum disediakan, lalu beliau melawat dapur menyiasat apakah yang dilakukan oleh budak tersebut. Didapatinya budak tersebut sedang tidur dalam keadaan tersenyum. Abu Qudamah sebagai seorang general perang yang baik, tidak memarahi budak tersebut, sebaliknya beliau yang mengambil alih tugas sebagai tukang masak. Tidak lama kemudian, budak tersebut bangun lalu meminta maaf kerana tertidur dan lewat menyediakan sarapan.

Abu Qudamah lalu bertanya, apakah yang menyebabkan dia tidur dalam keadaan tersenyum? budak tersebut menyatakan ianya rahsia peribadi, lalu Abu Qudamah mengugut tidak memaafkannya sehingga dia menceritakan kisah tidurnya. Lalu cerita budak tersebut, dia telah bermimpi masuk syurga yang dilihatnya begitu indah yang tidak dapat digambarkan keindahannya. Di dalam syurga tersebut dilihatnya bidadari-bidadari bermain-main dan berlari-larian. Dia ingin mendapatkan bidadari-bidadari tersebut tetapi dihalang, mungkin dihalang oleh malaikat dengan kata malaikat tersebut, kamu belum boleh mendapatkan mereka keran akamu belum mati, kamu kene tunggu waktu tengahari ni.

Dikisahkan pada tengahari tersebut berlakunya peperangan dengan musuh Allah, budak ni masih menjalankan tugasnya sebagai tukang masak. Tapi apabila dilihatnya keadaan tentera Islam dihimpit tentera musuh, dia pun tak boleh duduk di dapur lagi dengan tenang, lalu di menceburkan diri dalam peperangan sehinggalah dia ditakdirkan syahid terkena balingan lembing musuh. Saat menghembuskan nafas terakhir, budak ni meminta agar Abu Qudamah sampaikan salam pada ibunya sambil membawa bajunya yang berlumurah darah dan ditembusi lembing.

Apabila perang tamat semua tentera Islam pulang, lalu disambut isteri dan anak-anak. Datanglah ibu kepada budak tadi kepada Abu Qudamah samada membawa berita baik atau berita buruk. Abu Qudamah bertanyakan wanita tersebut apakah maksud dia sebenarnya? Katanya "berita buruk kalo anaknya masih hidup dan berita baiknya kalo anaknya syahid di medah jihad". Jawab Abu Qudamah, anakmu telah syahid, wanita tersebut enggan mempercayainya sehinggalah Abu Qudamah memberinya baju anaknya yang berlumuran darah, bila wanita tersebut mencium baju tersebut, yakinlah dia bahawa anaknya telah mati dalam keadaan yang paling mulia, iaitu mati syahid, lalu di mengucapkan syukur kepada Allah.

Pada hari ini lengkaplah sudah usahanya menghantar syahid ayahnya, suaminya dan anaknya, hanya tinggal dirinya dan anak perempuannya. Kemudian dia ingin mendapatkan anak perempuannya yang berusia 8 tahun ketika itu, anak itu berlari mendapatkannya lalu terjatuh, apabila diangkat rupa anak tersebut telah menemui ajalnya di situ. Kini hanya tinggal dia seorang diri sebatang kara. Sebaik sahaja wanita tersebut balik ke rumahnya, dia pun berdoa dan mengadu kepada Allah, apalah dayanya lagi apabila semua ahli keluarganya telah dijemput Allah. Allah yang Maha mengasihani, amat mengasihani hambanya yang bertaqwa yang hidup dan matinya semata-mata kerana Allah, lalu ketika itu juga Allah mengambil nyawa wanita tersebut untuk dia menemui ayah, suami dan anak-anaknya yang telah mendahuluinya.

Subhanallah....

Sekian, wassalam.
miormohdhadafi

Thursday, April 21, 2011

Salam

Assalamualaikum w.b.t.,

Subhanallah, begitu cepat masa berlalu, hari ini sudah masuk minggu ke-4 bulan April 2011. sudah hampir sebulan ana tak update blog ni. Hasrat dihati nak update setiap hari, namun apakan daya kesibukan melanda disamping kelemahan diri yang menyebabkan penulisan blog berhenti seketika. Sebelum melanjutkan bicara mungkin ana dapat kongsikan sesuatu dengan pembaca, kerana setiap awal bulan hingga pertengahan bulan, ana akan menyiapkan suntingan rakaman ceramah dari Masjid Kota Damansara.

Untuk makluman, Masjid Kota Damansara aktif dalam menganjurkan kegiatan ceramah dan kuliah, sehingga setiap hari yang berlalu samada hari cuti atau hari bekerja, tetap diadakan kuliah subuh dan kuliah maghrib. Ini dimaklumi oleh semua jemaah, sekiranya tiada kuliah, biasanya disebabkan oleh ketidak hadiran ustaz penceramah itu sendiri. Ketidak hadiran ustaz penceramah juga biasanya akan digantikan dengan ustaz yang lain, melainkan ustaz penceramah tersebut membatalkan kuliah atau keuzuran disaat-saat akhir dan pihak jawatan kuasa masjid tidak dapat mencari penggantinya.

Posting pada hari ini, ingin ana kongsikan produk dari kuliah-kuliah di Masjid Kota Damansara tersebut yang dirakam setiap hari, di mana ada kesempatan. DVD ni ada dijual di Masjid Kota Damansara hampir setiap malam. Ianya dijual dengan harga RM15.00 setiap satu. Ada juga permintaan dari jemaah yang mahukan rakaman dalam bentuk CD untuk dimainkan di dalam kenderaan, jadi ana 'burn'kan juga dalam bentuk CD yang dijual dengan harga RM5.00 setiap satu. Bagaimanapun saiz CD yang terhad menyebabkan kuliah dalam bulan Mac 2011 ni memerlukan 4 CD, CD1 (kuliah no.1-11), CD2 (kuliah no.12-22), CD3 (kuliah no.23-32) dan CD4 (kuliah no.33-42). Nombor-nombor kuliah yang dimaksudkan boleh dirujuk di senarai dalam gambar di bawah.


*sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan CD/DVD ni boleh dapatkannya di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Sekian, wassalam.
miormohdhadafi
miormh@gmail.com

Wednesday, March 30, 2011

Janji Terbaik

Assalamualaikum w.b.t.,

Hari ini ana ingin memetik beberapa ayat atau perenggan dari buku yang baru ana beli dari Galeri Buku Syabab, Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi. Asalnya ana nak cari buku "Menuju PAS Baru" karangan Dr. Mujahid Yusuf Rawa tapi buku tersebut tidak terdapat di galeri buku tersebut. Tujuan utama ana ingin membelinya kerana ana baru sahaja membeli buku yang menjawab kepada buku tersebut iaitu buku "Menerjah Badai: 60 Tahun MempersadaPerjuangan" karangan Riduan Mohamad Nor. Disebabkan buku yang dicari tak jumpa, ana carilah mana-mana buku yang menarik untuk dibaca supaya tidak pulang dengan tangan kosong. Cari punya cari terlihat buku "Travelog Hidayah" karangan saudara Muhammad Rashidi Abdullah yang baru memeluk Islam pada tahun 2002 yang lalu.

Beliau pernah datang ke Masjid Kota Damansara bersama Ustaz Farhan Abdullah dalam satu program anjuran masjid "Hiwar Islam" isu tentang Islam dan Kristian. Masa ni beliau telah menjual buku pertamanya iaitu "Travelog Syahadah". Daripada buku tersebut ana dapati tulisannya dikira agak baik bagi orang yang baru dalam bidang penulisan lagipun dana atau keuntungan yang diperolehinya dari jualan buku tersebut beliau gunakan untuk jalan dakwah sepenuhnya. Jadi untuk buku beliau yang seterusnya ana tidak keberatan untuk memilikinya lagi. Kulit buku diapun agak menarik untuk dilihat seperti di bawah.


Petikan dari buku beliau:

Allah menyediakan kesudahan yang terbaik kepada kita. Bukankah kita mempunyai kitab terbaik? Nabi dan Rasul kita juga utusan terbaik. Agama kita agama terbaik dan kita umat terbaik. Mengapa kita tidak meyakini janji Allah adalah janji terbaik?

Hidup ini sentiasa dipenuhi dengan janji. Si anak berjanji dengan ayahnya. Si suami berjanji dengan isterinya. Pelajar berjanji dengan guru-gurunya. Pemimpin menabur janji kepada rakyat jelata. Si pencinta berjanji kepada kekasihnya. Hidup ini rupa-rupanya dipenuhi dengan janji. Dengan sebab itu Allah menciptakan kita juga berjanji. Janji Allah yang mentadbir sekelian alam adalah pasti. Sekali-kali Allah tidak memungkiri janji-Nya.

Sekian, wassalam...

Tuesday, March 29, 2011

Falsafah Syahadah

Assalamualaikum w.b.t.,

Malam ini di Masjid Kota Damansara, Ust Fadzli Ghani telah menggantikan Ust Rahim Nasir yang tidak dapat hadir. Beliau membawakan tajuk ceramah Falsafah Syahadah. Antara isi penting ceramah beliau:

Makna syahadah dari segi bahasa:
1. Ilmu - mesti ada ilmu, dia tahu apa yang dia syahadahkan
2. Penerangan - tahu dalil-dalil keesaan Allah
3. Perkhabaran - berita yang disampaikan oleh nabi s.a.w.
4. keterangan / kenyataan yang jelas

Makna syahadah dari segi istilah (tersirat):
1. Ikrar - perakuan terhadap Allah
2. Pengakuan / iktiraf ketuhanan Allah atas diri kita
3. Keyakinan apa yang diikrarkan

Lepas syahadah dia benar-benar yakin dengan Allah dan apa yang diturunkan oleh Allah melalui nabi s.a.w. Syahadah bermaksud tolak semua kepalsuan jahiliah dan terima dengan yang apa yang disampaikan oleh nabi s.a.w. sahaja, tiada yang lain yang lebih baik daripadanya iaitu undang-undang Islam, ekonomi Islam, politik Islam, muamalat Islam, pendidikan Islam, sosial Islam dan segala-galanya yakin dengan Islam.

Dalam politik, orang Islam syahadah atau baiah kepada pemimpin Islam atau khalifah. Hari ini syahadah ini melalui peti undi. Pemimpin yang kita undi adalah khalifah iaitu wakil Allah. Jadi adalah tidak wajar jika kita mengundi pemimpin yang menolak hukum Allah kerana mereka sepatutnya menjadi wakil Allah dalam melaksanakan undang-undang Allah di muka bumi.

Syarat-syarat syahadah kepada pemimpin Islam, pemimpin Islam itu mestilah:
1. Faham dengan Islam yang sebenarnya, tidak ambil separuh tinggal separuh dan meletakkan Quran dan sunnah di depan
2. Tidak berlawanan dengan syahadah, syarat beri syahadah:
i. Kena ada maklumat - orang Islam wajib berdakwah mengajak orang dari jahiliah kepada Islam
ii. Tidak boleh beri syahadah dengan nafsu atau kerana habuan dunia pasal nak projek
iii. wajib kenal siapa yang nak kita syahadahkan itu - kene tahu orang yang kita undi tu bawa kita ke jalan syurga atau ke jalan neraka.

Sekian, wassalam...

Tuesday, March 8, 2011

Perjanjian Yahudi

Assalamualaikum w.b.t.,

Malam ini Ustaz Azizan yang mengajar di Surau Al-Falah, Seksyen 6, Kota Damansara menceritakan tentang tiadanya sebarang perjanjian dengan orang-orang Yahudi. Ini kerana, apabila perjanjian termeterai di pagi hari, di petang hari mereka memungkirinya. Perjanjian ini pula bukanlah perjanjian biasa, ianya adalah perjanjian yang kekal untuk mentaati perintah Allah setelah Allah mengurniakan mereka berbagai-bagai nikmat.

Di Madinah selepas peristiwa hijrah, Yahudi dan Nasrani cuba berhujah dengan Nabi s.a.w. tentang kebenaran kitab mereka untuk menolak ajaran Nabi s.a.w., Nabi s.a.w. sudah tentu mengakui kebenaran kitab-kitab mereka (Taurat dan Injil) kemudiannya menggunakan kitab-kitab mereka juga bagi menunjukkan kebenaran kenabiannya yang telah disebutkan di dalam kitab-kitab mereka. Akhirnya mereka mati hujah dan mengambil keputusan mencampakkan kitab-kitab mereka, ada riwayat yang yang menyatakan mereka meletakkan kitab-kitab mereka di bawah punggung mereka.

Akibat sakit hatinya mereka kepada Nabi s.a.w., hingga mereka sanggup menyihir nabi sehingga seluruh badan Nabi berasa lemah dan tidak berdaya. Kisah lanjut nabi disihir boleh dilihat di sini.

Sekian, wassalam.

Hamba yang berserah,

miormohdhadafi

Monday, March 7, 2011

Hadis Muhimmah - Kebinasaan Lelaki

Assalmualaikum w.b.t,

Malam ini Ust Ansori Morsid memulakan kuliahnya dengan menyatakan sebahagian daripada kebinasaan adalah kerana gagalnya mengurus rumah tangga oleh suami isteri. Kenapa boleh gagal? kerana suami hanya menuruti kehendak isteri tanpa menbantah yang membuatkan isteri meminta itu dan ini yang bertentangan dengan syarak, suami yang jahil tersebut menurutnya sahaja. Malah sabda nabi s.a.w. - Tiada mendapat kemenangan sesuatu kaum apabila yang menguasai mereka adalah perempuan. Hari ini kita lihat kerajaan Arab jatuh satu persatu, salah satu puncanya adalah suami menurut sahaja kehendak isteri tanpa ditegur atau dibantah, akibatnya isteri membelanjakan harta negara sesuka hatinya dengan membiarkan rakyat dalam kemiskinan.

Implikasinya ramai lelaki yang dimasukkan ke dalam api neraka kerana mematuhi kehendak isteri yang berlawanan dengan syarak. Lelaki Allah jadikan lebih tinggi darjatnya dari kaum perempuan, buktinya firman Allah - Kaum Lelaki itu pemimpin kepada kaum perempuan. Sekiranya suami yang ikut cakap isteri samalah keadaannya apabila si tuan mengikut cakap hambanya, atau pekerja memberi arahan kepada majikannya.

Sekian, wassalam.

Yang hina di sisiMu,

miormohdhadafi

Saturday, March 5, 2011

Kewajiban Menegakkan Pemerintahan Islam

Assalamualaikum w.b.t.,

Di akhir tazkirah selepas Ustaz Ridzuan Hashim menyimpulkan tazkirahnya, beliau ditanya beberapa soalan di mana jawaban dari soalan tersebut bolehlah dijadikan kesimpulan pada keseluruhan tazkirahnya di pasar tani Uptown Kota Damansara pada pagi ini.

Soalan tersebut berbunyi, apakah hukum mengundi dalam Islam?
Jawaban ustaz Ridzuan dengan memberikan dulu perbandingan dalam hukum fiqh. Mulanya hukum wuduk adalah sunat dan hukum solat adalah wajib. Jadi untuk melakukan solat adalah tidak sah kalo tak ada wuduk, jadi hukum wuduk di sini dah jadi wajib kerana hendak melaksanakan solat yang wajib tadi. Begitu juga dalam pemerintahan negara dalam konteks demokrasi di Malaysia. Hukum menegakkan negara yang mempunyai undang-undang Islam adalah wajib kerana ianya perintah Allah yang termaktub dalam Al-Quran dan hadis-hadis nabi. Untuk melaksanakan peraturan Allah ini perlukan kuasa pemerintahan, untuk mendapatkan kuasa pemerintahan perlu ada majoriti dalam dewan parlimen atau dewan undangan negeri (DUN). Untuk mendapatkan mejoriti dalam dewan perlu ada kemenangan dalam pilihanraya, dan untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihanraya perlulah mengundi.

Jadi di sini implikasi kepada mengundi atau tidak mengundi ianya boleh menegakkan negara dengan pemerintahan Islam ataupun meruntuhkan negara pemerintahan Islam. Sebagai contoh ustaz menyatakan pada tahun 2004 Kelantan diperintah oleh parti Islam dengan kelebihan 1 kerusi sahaja. Apabila berlaku pilihanraya kecil DUN Pasir Panjang (kalo tak silap), parti Islam memenangi semula kerusi tersebut dengan kelebihan hanya 2 undi sahaja. Dari mana datangnya 2 undi tersebut? Diceritakan sepasang suami isteri guru yang bertugas di Sabah sanggup pulang ke Pasir Panjang semata-mata untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan mereka telah memangkah pasti Islam tersebut.

Ramai dikalangan kita yang berpendapat hanya 1 undi kita sahaja dari kita tidak akan dapat mengubah mejoriti undi yang diperolehi nanti, ini adalah tanggapan yang sangat lemah dah tidak benar kerana kita telah berusaha sekadar kemampuan kita untuk merubah keadaan, kalah atau menang bukanlah menjadi tanggungjawab kita untuk menentukannya, ianya adalah ketentuan Allah. Dalam kes ini patutlah kita mengambil iktibar dari usaha burung pipit yang berusaha memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim. Walaupun api tidak berjaya dipadamkan tetapi sekurang-kurangnya dia boleh menjawab kepada Allah apabila dihisab di mahsyar nanti, apakah usahanya apabila melihat kekasih Allah sedang dibakar, jawabnya "Aku telah berusaha dengan sedaya upayaku, selebihnya aku bertawakal kepadaMu ya Allah".

Sekian, wassalam.

Yang mengharap rahmatMu,

miormohdhadafi

DENGARKANLAH AL-QURAN